Fruktosa lebih bahaya daripada Sukrosa?

Fruktosa lebih bahaya daripada Sukrosa?

Hari ini, sirap jagung tinggi fruktos (SJTF) meliputi 55 peratus pemanis yang digunakan dalam makanan dan minuman terproses. Pengeluar makanan dan minuman mula menggantikan sukrosa (gula putih) dengan SJTF pada 1970-an. Ia berlaku apabila perbelanjaan mengeluarkan SJTF adalah lebih murah daripada penyediaan sukrosa.

Kemanisan fruktosa adalah 20 peratus lebih tinggi dari kemanisan sukrosa. Jadi, ia menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pengeluar SJTF dan pengilang makanan dan minuman
Fruktosa adalah pemanis semula jadi yang wujud dalam buah-buahan dan madu. Fruktosa bergabung dengan glukos secara semula jadi bagi membentuk pemanis yang biasa kita gunakan iaitu sukrosa. Gula putih dan pelbagai jenis nira mengandungi sukrosa dengan peratusan fruktosa dan glukos yang sama.

Sebaliknya SJTF mengandungi peratusan fruktosa yang lebih tinggi berbanding glukos. SJTF mengandungi 55 peratus fruktosa dan ini menyebabkan ia dikenali sebagai fruktosa.
Pihak industri terutama di negara barat biasanya mendakwa bahawa SJTF dan gula putih adalah sama secara kimia.

Mereka beberapa kali mendakwa bahawa SJTF yang biasa digunakan dalam industri terdiri dari 55 peratus fruktosa dan 45 peratus glukos. Jadi menurut mereka tiada perbezaan ketara dengan sukrosa yang terdiri dari kandungan 50 peratus fruktosa dan 50 peratus glukos.


Semua pemanis sama?

Adakah benar SJTF terdiri daripada 55 peratus fruktosa? Beberapa penyelidik dari University of Southern California (2010) menjalankan kajian untuk mengenalpasti kandungan dan jumlah gula dalam beberapa minuman ringan. Mereka mendapati kandungan fruktosa dalam tiga jenama minuman ringan iaitu Coke, Pepsi, dan Sprite melebihi peratusan yang biasa diketahui umum iaitu 55 peratus.

Ketiga-tiga jenama tersebut sebenarnya mengandungi 65 peratus fruktosa. Walaupun fruktosa adalah sejenis gula namun fenomena pengambilannya secara berlebihan dalam bentuk minuman terproses didapati menyumbang pelbagai masalah kesihatan.

Pengambilan fruktosa berlebihan ini dikaitkan sebagai punca kekebalan insulin, obesiti, peningkatan tekanan darah, mengganggu keharmonian profil lipid (meningkatkan trigliserida dan LDL), mengurangkan vitamin serta mengurangkan dan mineral dari tubuh. Ia juga dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, penyakit hati, kerosakan buah pinggang, kanser, artritis dan gout.

Nenek moyang kita dikatakan mengambil lebih kurang 15 gram fruktosa dengan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran. Cuba anda bandingkan dengan pengambilan pelbagai jenis minuman terproses yang diambil golongan muda-mudi hari ini yang menyumbang lebih kurang 73 gram fruktosa setiap hari.

Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan serat, pelbagai mineral dan vitamin di samping pelbagai kategori fitokimia yang bermanfaat kepada kesihatan manusia. Bahan-bahan ini berupaya meneutralkan kesan negatif fruktosa daripada buah-buahan yang dimakan.

Sebaliknya, minuman terproses yang tinggi dengan SJTF bukan sahaja tinggi fruktosa malah kekurangan nutrien. Di samping itu ia mengandungi pelbagai bahan kimia yang tidak semula jadi seperti pewarna dan perisa tiruan. Kandungan bahan kimia secara keseluruhan dalam minuman terproses dikatakan tidak dapat menghalang kesan negatif fruktosa.

Terdapat dua sebab mengapa fruktosa amat merbahaya kepada kesihatan tubuh. Yang pertama kerana tubuh kita memetabolismekan fruktosa menggunakan kaedah berbeza dari proses metabolisme glukos. Beban memetabolismekan fruktosa dipikul sepenuhnya oleh hati tetapi sebahagian besar glukos dimetabolisme dalam sel-sel seluruh tubuh.

Sebab yang kedua ialah apabila seseorang mengambil fruktosa pada kuantiti yang amat tinggi secara berterusan maka ia menyebabkan kesan negatif hasil pengambilan fruktosa menjadi semakin ketara.


Ketagih minuman
Dr Robert Lustig iaitu profesor penyakit kanak-kanak Jabatan Endokrinologi di University of California, San Francisco telah menggariskan beberapa perbezaan mengenai bagaimana gula terurai dan digunakan dalam tubuh.

Selepas mengambil fruktosa, beban metabolisme ditanggung 100 peratus oleh hati. Sebaliknya hanya 20 peratus glukos diproses dalam hati. Selebihnya diproses dalam sel seluruh tubuh. Setiap sel termasuk sel otak menggunakan glukos sebagai sumber tenaga. Jadi kebanyakannya dibakar sebaik-baik sahaja seorang mengambilnya.

Sebaliknya fruktosa diubah kepada asid-asid lemak bebas, VLDL (very low density lipoprotein) dan trigliserida di mana kesemuanya disimpan sebagai lemak. Asid lemak terhasil daripada metabolisme fruktosa membentuk titisan lemak dalam hati dan tisu otot. Ia seterusnya menyebabkan kekebalan insulin. Kekebalan insulin yang berterusan membentuk Sindrom Metabolik dan diabetes jenis kedua (type 2 diabetes).

Secara biokimia fruktosa lebih cenderung membentuk lemak berbanding glukos. Pengambilan 120 kalori glukos menyebabkan hanya satu kalori disimpan sebagai lemak. Sebaliknya pengambilan 120 kalori fruktosa menyebabkan 40 kalori disimpan sebagai lemak.

Metabolisme fruktosa oleh hati membentuk pelbagai jenis bahan buangan dan bertoksin seperti asid urik. Asid urik tinggi dan berpanjangan dikaitkan dengan gout, peningkatan tekanan darah, kerosakan buah buah pinggang dan masalah jantung. Glukos merencatkan kegiatan hormon ghrelin dan merangsang hormon leptin. Ia menyebabkan anda merasa kenyang atau berhenti makan.

Sebaliknya fruktosa tidak memberi kesan kepada ghrelin dan mengganggu komunikasi leptin dengan otak. Ia menyebabkan seseorang sering rasa lapar. Ia adalah punca mengapa ramai orang hari ini ketagih minuman mengandungi SJTF. Hari ini anda tahu jawapan mengapa sebahagian orang mampu minum 750 ml air bergas dan burger seberat 300 gm disertai sepiring kentang goreng sekali gus tetapi masih kurang kenyang!

sumber: http://www.sinarharian.com.my/rencana/fruktosa-lebih-bahaya-daripada-sukrosa-1.40572